Monday 10 March 2014

Bolehkah Air Jampi Dikomersilkan?



LAMBAKAN pelbagai jenis produk di pasaran tempatan tidak dinafikan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan usahawan. Pengguna pula mempunyai banyak pilihan bagi memenuhi cita rasa sendiri.

Namun, lambakan produk minuman dan makanan komersil yang dikatakan dihasilkan menggunakan kaedah rawatan Islam mewujudkan banyak persoalan dan tanda tanya dalam kalangan pengguna.

Malah terdapat pengusaha didakwa mengeluarkan iklan yang bukan sahaja mengelirukan malah secara jelas menipu orang ramai.

Ini termasuklah penjualan produk yang semakin popular kini, iaitu air ruqyah atau air jampi. Air-air ini dikatakan telah dibacakan ayat-ayat suci al-Quran dan boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada pengguna.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertegas akan mengambil tindakan ke atas pengusaha air jampi jika didapati melakukan penipuan seperti itu.

Yang pasti, perbuatan memanipulasi rawatan Islam dan bacaan ayat al-Quran untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi yang membabitkan elemen penipuan sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Untung atas angin Pengkomersilan air ruqyah secara besar-besaran ini bagi sesetengah pihak umpama mengambil keuntungan melalui cara mudah. Sewajarnya ia tidak dikomersilkan kerana boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap kaedah perubatan Islam itu sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata, perkara seperti ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah apabila masyarakat mula menganggap kesembuhan itu datang daripada air
jampi berkenaan.

“Contohnya, air-air ini didakwa boleh melariskan perniagaan, menyembuhkan penyakit, menjadikan seseorang itu lebih bijak dan lain-lain lagi. Ruqyah (jampi) ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaedah dan syarat-syarat tertentu.

“Apabila perkara ini dikomersilkan, kita khuatir ia tidak mematuhi syarat dan kaedah tersebut,” katanya. Menurut Othman, terdapat beberapa isu agama yang timbul berhubung penjualan air jampi.

“Pertamanya, apakah produk tersebut diruqyah mengikut kaifiat (kaedah) yang ditetapkan oleh Islam. “Kedua, apakah mereka yang melaksanakan ruqyah itu mempunyai kelayakan yang sepatutnya dan ketiga, bagaimana untuk pengeluar mengawal produk tersebut daripada ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?,” soalnya.

Menurut Othman, antara kebimbangan utama adalah sama ada pengeluar air ruqyah ini benarbenar patuh kepada garis panduan yang disyariatkan atau prosedur yang sepatutnya dalam Islam.

Contohnya, membaca secara lengkap 30 juzuk al-Quran pada air tersebut dan sama ada bacaan itu benar-benar dibuat memenuhi keseluruhan juzuk dan dengan tertibnya. “Saya melihat rawatan secara ruqyah ini adalah sesuatu yang mulia.




Cuma, penjualan air ruqyah secara komersil tidak bersesuaian kalau kita andaikan air yang diruqyah itu sebagai ubat.

“Biarlah ia boleh didapati pada tempat yang betul sahaja, sama ada di pusat rawatan Islam atau farmasi sebagaimana ubat-ubatan moden yang dikawal pengeluaran dan penjualannya,” menurut beliau.

Othman menegaskan, Jakim tidak menafikan dalam Islam ada kaedah menggunakan air yang dijampi sebagai penawar dan ubat namun kebiasaannya pihak-pihak yang ingin mendapatkan rawatan itu perlu bertemu terus dengan pengamal perubatan Islam yang dipercayai dan lebih baik jika perawat itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

“Individu yang layak membuat air ruqyah ini lazimnya seorang yang warak dan mustajab doanya di sisi Allah,” katanya.


Sumber: www.sinarharian.com.my

0 comments:

Post a Comment