Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) gempar seketika petang semalam selepas muncul seorang lelaki yang
mendakwa sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP yang kononnya mampu
membuat ramalan berhubung keadaan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang
sejak Sabtu lalu.
Bomoh terbabit, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang berpengalaman
lebih 50 tahun mendakwa berdasarkan upacara yang dilakukan selama 30
minit itu, beliau mendapat alamat bahawa kesemua penumpang pesawat
terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi
tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara
asing yang tidak dapat dipastikan.
"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.
"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka
tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada
diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib", katanya
semalam.
Upacara ritual itu menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta
bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini
berhubung keadaan pesawat terbabit.
Ibrahim berkata, bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di
mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau
ditawan di alam bunian.
"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.
"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,"katanya.
Dalam upacara tersebut, Ibrahim turut mempelawa beberapa individu
daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil media untuk membuat
ritual pembebasan dengan meletakkan bubu mata pancing di atas kepala
mereka.
Menurut bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati
itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat
Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta
berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.
Katanya, pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.
Beliau berkata, pihaknya mendapat jemputan daripada seseorang yang 'penting' untuk melakukan upacara tersebut semalam.
Ibrahim sebelum ini mendakwa pernah terlibat dalam membuat ramalan untuk
kes antaranya berkaitan kes tragedi Highland Tower serta membatalkan
ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah
Temerloh, Pahang.
Ihsan Akhbar Tempatan
0 comments:
Post a Comment