Monday 10 March 2014

Perokok Pemalas Dan Mudah Cemas?

Semua orang tahu merokok ibarat membakar diri. Bukan saja sengaja mendedahkan diri kepada pelbagai risiko penyakit, ia juga membahayakan orang sekeliling yang menghidu asapnya. Tidak hanya itu, merokok membuatkan tubuh berbau sehingga boleh mengganggu ketenangan orang yang ada berdekatan anda.
Walaupun berpuluh-puluh ribu kajian dijalankan ke atas perokok merangkumi aspek kesihatan, keburukan, kesan jangka panjang dan sebagainya, ia tetap tidak boleh mengubah tabiat golongan ini. 
Faktor cara hidup tidak sihat ditambah pula pola pemakanan yang gagal mengikut garis panduan betul membuatkan perokok zaman sekarang mudah ditimpa pelbagai penyakit. Lebih membimbangkan ada antara mereka terpaksa menanggung sengsara lebih awal seawal usia 20-an.

Mungkin isu kesihatan sudah muak dibincangkan hingga ada segelintir perokok seolah-olah bersedia menghadapi apa saja penyakit bakal dihadapinya kelak. Justeru, artikel Gen Y kali ini membongkar sikap pasif yang ada pada si perokok walaupun mereka pasti menafikannya!


50 Perokok baru setiap hari

Keputusan Tinjauan Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2003 amat membimbangkan apabila mendapati remaja adalah kelompok terbesar memegang status perokok baru. Sebilangan besar perokok dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 18 tahun. Dilaporkan pada 1985, sebanyak 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000, malah semakin bertambah tahun demi tahun.

Seiring dengan status negara maju, remaja juga mudah terpengaruh dengan cara hidup moden. Statistik bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat lapan peratus dari 2005 hingga 2010. Dicatatkan, jumlah remaja perempuan merokok terutama yang berusia bawah 10 tahun semakin membimbangkan kerana peratusannya lebih tinggi berbanding lelaki iaitu 28.8 peratus berbanding remaja lelaki, 14.1 peratus.

Laporan Modul Berhenti Merokok pada 2001 menunjukkan anggaran seramai 50 hingga 60 remaja yang merokok meningkat setiap hari. Malah, setiap tahun daripada tiga juta perokok dicatatkan pada 2006 iaitu bersamaan lebih 20 peratus rakyat Malaysia meningkat satu peratus atau 30,000 perokok baru dilahirkan tahun demi tahun walaupun pelbagai kempen jauhi rokok dilaksanakan.

Penulis percaya, remaja bukannya tidak tahu mengenai kempen dijalankan hampir setiap bulan, tetapi tahap penerimaan mereka terhadap kempen itu adalah kurang. Hal ini dapat dibuktikan dengan jumlah remaja yang merokok dicatatkan melebihi 3.12 juta orang pada 2010.


Kurang berjalan dan cepat cemas

Kajian daripada Universiti Negeri Londrina, Brazil mendapati perokok kurang aktif bergerak jika dibandingkan dengan individu yang tidak merokok. Kajian unik ini dijalankan ke atas 60 perokok dan 50 individu tidak merokok. 

Pengkaji meminta peserta menggunakan alat pengukur langkah (pedometer) untuk mengukur aktiviti yang mereka lakukan selama 12 jam setiap hari bagi tempoh enam hari secara keseluruhan. Hasil kajian mendapati, jumlah langkah harian perokok lebih sedikit berbanding mereka yang tidak merokok.

Selain itu, keputusan turut menunjukkan perokok mengalami penurunan dalam fungsi paru-paru hingga membuatkan mereka lebih sukar untuk terbabit dalam olahraga.

Menurut kajian ini lagi, ketika diminta menilai kualiti kehidupan berhubung kesihatan, perokok menyatakan mereka lebih cepat letih dan kurang motivasi untuk mengubah gaya hidup. 

Secara tidak langsung, tidak keterlaluan jika penulis berpendapat perokok menjadi lebih cepat malas disebabkan faktor tubuh cepat letih dan kekurangan stamina.

“Setahu kami, ini kajian pertama yang menunjukkan secara objektif bahawa ada pengurangan aktiviti luar seorang perokok dibandingkan dengan orang yang tidak merokok.

“Selain menurunnya fungsi paru-paru, kapasiti senaman ataupun aktiviti olahraga dan kualiti hidup, perokok juga lebih mudah mengalami rasa cemas dan tertekan serta berjalan lebih sedikit daripada orang yang tidak merokok dalam rutin seharian,” kata ketua pengkaji Karina Furlanetto.

Sementara itu, kajian lain dijalankan Sekolah Perubatan Charite Berlin, Jerman sebelum ini mendapati tempoh waktu tidur perokok lebih sedikit jika dibandingkan dengan orang tidak merokok. Dicatatkan, sebanyak 17 peratus perokok tidur kurang enam jam sehari dan 28 peratus daripadanya mengalami gangguan tidur.

Sebagai perbandingan, penyelidikan tempoh waktu tidur turut dijalankan ke atas individu tidak merokok. Keputusannya, hanya lapan peratus orang yang tidak merokok tidur kurang dari enam jam dan hanya 19 peratus melaporkan mengalami gangguan tidur. Jumlah ini masih rendah berbanding keputusan bagi kumpulan perokok.


Seorang daripada lima remaja adalah perokok

Logiknya, kita akan merasakan hal ini adalah isu biasa tetapi merujuk kembali fakta global mengenai perokok, ia adalah isu global yang makin membimbangkan. Dilaporkan, dalam kalangan remaja di seluruh dunia yang berumur antara 13 dan 15 tahun, dianggarkan seorang daripada lima orang adalah perokok.

Secara kasar, 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari dan separuh daripada jumlah itu di negara Asia. 

Selain itu, jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan sekitar 1.15 bilion orang dan daripada jumlah itu, lebih 80 peratus perokok adalah di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Sesiapa saja pasti tahu sekiranya anda berhenti merokok, kurang risiko menghidapi penyakit serius seperti jantung, diabetes dan angin ahmar.

Namun, bukan hanya soal penyakit untuk menjauhi rokok tetapi ia juga memberi manfaat kepada kesihatan mental. 

Kajian dijalankan Sekolah Perubatan Universiti Washington, Amerika Syarikat ke atas 4,800 perokok aktif mendapati 40 peratus daripada peserta mengalami gangguan emosi iaitu cepat cemas, 50 peratus ketagihan alkohol dan selebihnya ketagihan ubat-ubatan. 

Penulis akui, sikap pasif ini bergantung kepada individu itu sendiri cara dia mengatur rutin harian. Tetapi perokok tidak boleh menafikan pasti ada waktunya anda cepat ‘semput’ berbanding orang lain kerana fakta kajian yang membuktikan semuanya. 

Jika tanggapan anda masih sama, ingatlah sebelum terlambat. Kementerian Kesihatan merekodkan hampir 10,000 kematian setiap tahun dikaitkan dengan tabiat merokok. Adakah anda mahu tergolong dalam statistik ini? Fikirkan.
Sumber: www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment